Wujud Unsur Manipulasi Berkenaan Ulasan Proklamasi dan Ordinan Darurat – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan ada unsur berbaur manipulasi dalam ulasan berkaitan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021.

Katanya merujuk kepada beberapa ulasan dibuat dan mendapat siaran dalam sesetengah media tempatan beliau mendapati ianya adalah tidak dalam konteks sebenar, sebaliknya ada unsur atau berbaur manipulasi.

“Disebutnya tentang Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai fungsi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang perlu bertindak menurut nasihat Jemaah Menteri.

“Lalu ada yang mendakwa betapa dalam keadaan sekarang menerusi beberapa titah telah dikeluarkan, Baginda pula yang bertindak menasihati Jemaah Menteri tentang perkara yang perlu dilakukan.

“Dalam hal ini sebenarnya, ‘nasihat’ di bawah Perkara 40 (1) adalah tidak mutlak. Perkara 40 (2) ada termaktub bahawa YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan beberapa fungsi,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Menteri Besar Pahang itu juga berkata YDPA boleh meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, dan sebarang tindakan pada mesyuarat itu atau dalam hal lain yang disebut dalam Perlembagaan.

“Berkenaan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 itu sendiri, telah termaktub secara jelas betapa dalam soal untuk membatalkannya, ia hendaklah dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen terlebih dahulu.

“Inilah juga yang dititahkan oleh YDPA pada perbincangan secara maya dengan wakil kerajaan Pusat dan Peguam Negara pada 24 Julai 2021.

“Kedua-duanya digubal dan dimaktubkan oleh kerajaan Pusat maka menjadi tanggungjawabnya jugalah untuk memastikan setiap apa yang termaktub, dilaksanakan termasuk dalam hal mengemukakannya ke Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan,” ujar beliau.

Jelas beliau, Ini adalah keperluan kerana tanpa ia dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahas dan dilulus pembatalannya, apa juga perkara terkandung dalam Ordinan Darurat 2021 khususnya, akan kekal berkuatkuasa untuk selama enam bulan akan datang.

“Mengenai pertikaian Tan Sri Vigneswaran ‘why is dirty linen being washed in public’ merujuk kepada YDPA dan kerajaan pusat ia bukanlah persoalan pokok.

“Yang utamanya ialah, rakyat perlu turut diberi kesedaran dan mereka juga berhak mengetahui perkara sebenar tanpa selindung; mengenai isu yang diperkatakan sekarang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.