Rakyat Parlimen Pagoh Terabai, Muhyiddin Pilih ‘Bulu’ Bagi Bantuan – Ismail Mohamed

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – UMNO Bahagian Pagoh menyifatkan rakyat di kawasan berkenaan tidak mendapat layanan yang sepatutnya meskipun ahli Parlimen mereka merupakan seorang Perdana Menteri.

Ketuanya, Ismail Mohamed berkata ini kerana selepas isu ketiadaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Parlimen Pagoh dibangkitkan oleh ahli Parlimen pembangkang barulah pusat tersebut hendak dibuka meskipun di dewan yang kecil kapasitinya.

“Sedangkan kita UMNO, menyuarakan terdapat banyak dewan-dewan besar dalam Parlimen Pagoh yang boleh digunakan. Di dalam sidang Dewan Parlimen ini ada ahli Parlimen memaklumkan kegagalan Perdana Menteri menjaga dan memahami isi hati rakyat khususnya di kawasan beliau.

“Saya bukan hendak menyokong ahli Parlimen berkenaan tetapi hakikatnya ada kebenaran. Saya sendiri meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Felda Maokil di mana UMNO telah menghantar empat kali keperluan barangan di setiap rumah tanpa mengambil kira fahaman Politik, tetapi Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai bajet Perdana Menteri, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri telah beri barangan secara terpilih dan minggu ketiga baru menghantar kepada keseluruhan peneroka.

“Barangan untuk kampung-kampung juga tidak melalui keseluruhan ketua-ketua kampung tetapi lebih kepada yang mesra dengan partinya. Pada hari ini bila saya tiba dirumah, saya lihat ada yang menghantar barangan di rumah-rumah di kampung saya. Rasanya setelah dua bulan lebih kita PKP dan darurat, baru ini nak bagi di setiap rumah walaupun baru sekampung sahaja dan publisiti je lebih,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Sementara itu Ismail menambah, keadaan politik terkini amat mendukacitakan malah UMNO Pagoh sedar kerajaan PN hari ini lebih dilihat untuk menjaga kedudukan dan jawatan mereka.

Ujar beliau malah lebih mengecewakan tindak tanduk Perdana Menteri juga dilihat mengenepikan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membincangkan Ordinan Darurat di Parlimen.

“UMNO tidak sepatutnya bersekongkol dengan tindak-tanduk ini. Kita sedar YDPA telah murka berdasarkan warkah yang terbaru ini. UMNO perlu menguruskan keadaan ini dengan sebaiknya.

“Oleh kerana keadaan wabak semakin meningkat, ekonomi negara masih tidak stabil dan pembubaran Parlimen bukan jalan yang terbaik, maka pucuk pimpinan kerajaan perlu dipilih dalam kalangan ahli Parlimen dari PN dan BN yang mampu memperbaiki keadaan ini.

“Kita tidak mahu kerajaan ini terus dilihat gagal walaupun telah melalui darurat dan PKP yang masih dilihat buntu. Kemudi yang berkemampuan perlu dipilih dan dilantik. Saya difahamkan Presiden UMNO Dan PAS Yang mencadangkan nama Tan Sri Muhyiddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri kepada YDPA. Maka tidak salah kiranya Presiden UMNO bertanggungjawab meminta beliau meletak jawatan pada ketika ini,” tegas beliau.

Tambah Ismail kegagalan kerajaan ini perlu dihentikan kerana rakyat sudah bosan dengan mainan politik untuk kepentingan diri dan kedudukan.

Katanya, rakyat lebih memikirkan kehidupan harian mereka yang semakin sukar dalam masa yang sama mengharapkan perubahan kepimpinan ini ke arah yang menjamin masa depan mereka dan negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.