Melontarkan Cadangan Tidak Semestinya Menjerit… Kita Tenang-tenang Saja – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Parti sentiasa konsisten melontarkan pandangan kepada kerajaan bagi menghadapi krisis penularan pandemik COVID-19, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun jelas beliau disebabkan lambang demokrasi negara iaitu Parlimen digantung ianya sekaligus menyukarkan ahli-ahli Parlimen UMNO untuk membawa suara rakyat.

“Sedangkan ramai tahu mana ada kita tidak pernah cuba membantu menangani pandemik. Konsisten cuba membantu menanganinya.

“Sedangkan itulah tempat untuk Ahli Parlimen berbincang, memberi pandangan, lontaran idea, semak dan imbang.

“Apa pun kita tetap membantu. Memberi pelbagai cadangan, idea melalui saluran lain termasuk politik dan media sosial,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sekali lagi mempersoal sama ada cadangan yang diberikan itu diambil peduli dan dipandang serius oleh kerajaan.

“Sebaliknya kita dituduh bermain politik. Kita dituduh kuat merungut dan hanya tahu buat bising. Mereka terjemahkan segala cadangan dan idea kita sebagai satu bentuk serangan pula.

“Kadangkala pandangan kita membuatkan mereka terkena tempias, tetapi itu yang perlu. Mana-mana bahagian yang mereka akhirnya bersetuju adalah kerana terpaksa.

“Kemudian mereka cuba ambil kredit, kita ok sahaja selagi ia memanfaatkan negara. Tidak mengapa kerana rakyat tahu,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Zahid meskipun kini Parlimen digantung sekali lagi, namun ada ahli Parlimen UMNO berkesempatan mengemukakan cadangan pada sidang khas baru-baru ini.

“Maka diharap cadangan yang bertujuan membantu menangani penularan COVID-19 itu diambil kira oleh kerajaan.

“Melontarkan cadangan tidak semestinya menjerit-jerit. Kita tenang-tenang saja,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.