Langgar Peruntukan Perlembagaan, Kerajaan Mesti Bertangungjawab Sepenuhnya – Megat Zulkarnain

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – UMNO Bahagian Gombak, menjunjung titah Yang Di Pertuan Agong (YDPA) mengenai perasaan dukacita atas pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada Isnin yang telah melanggar titah asal baginda.

Ketuanya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, titah YDPA telah memutuskan bahawa Proklamasi dan Ordinan Darurat hendaklah dibentangkan, dibahaskan dan diputuskan di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kerajaan mesti bertangungjawab sepenuhnya dengan kenyataan yang diumumkan.

“Pengumuman itu menunjukkan bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan Perlembagaan secara sengaja dengan melanggar titah YDPA,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelas beliau, Perdana Menteri yang menjadi ketua eksekutif kerajaan hendaklah mengambil pertanggungjawaban atas tindakan ini yang telah mengelirukan Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia kerana ianya sekali gus melanggar prinsip Kedaulatan Undang-undang yang terkandung di dalam Rukun Negara.

“Saya berdoa agar YDPA dilindungi oleh Allah S.W.T dan semoga seluruh rakyat Malaysia dalam keadaan sihat dan selamat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.