Junjung Titah Agong: Parti Politik Dan Rakyat Perlu Berganding Bahu – UMNO Kedah
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menjunjung titah atas penzahiran perasaan amat dukacita Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini seiring dengan prinsip kedua dan ketiga di dalam Rukun Negara dengan jelas menzahirkan Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.
“Selaku warga yang cintakan Rajanya dan akur dengan Perlembagaan sebagai dokumen undang undang tertinggi negara, UMNO negeri Kedah ingin merafak sembah dan menjunjung kasih di atas keprihatinan Seri Paduka Baginda.
“Kami percaya, kestabilan politik amat diperlukan di masa getir kini supaya usaha menangani pelbagai isu rakyat dapat dituntaskan dengan baik.
“Kami juga tetap seiring dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO malah mendukung keputusan Perhimpunan Agong UMNO Malaysia 2020,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Kedah juga mengajak seluruh parti politik dan semua rakyat agar berganding bahu bekerjasama supaya segala usaha dalam menghadapi saat sukar ini disatukan.
“Inilah ruang dan peluang terbaik membaiki segala kegagalan ditempuhi negara selama ini. Kita perlu bina Malaysia baru seperti dahulu, yang makmur, aman, stabil dan sentosa penghidupan rakyatnya.
“Menyedari episod hitam yang berlaku di masa ini berpunca daripada kegoyahan dan ketidakstabilan politik, maka perlu ada kemahuan politik dari semua pihak utk mengembalikan kreadilibiti Dewan Rakyat dlm menentukan Keabsahan sokongan serta kedudukan kerajaan yang ada hari ini,” ujar beliau. – UMNO Online