Jika PM Akur Kepada Desakan Badan Politik, Protes Anak Muda Tidak Berlaku – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekhuatiran beliau apabila anak-anak muda mendedahkan diri kepada risiko jangkitan COVID-19.

Beliau berkata demikian ekoran daripada tindakan sekumpulan anak muda yang berkumpul di ibu negara Sabtu lalu bagi meluahkan protes mereka terhadap pentadbiran kerajaan.

“Saya juga amat tidak bersetuju dengan tindakan yang sedemikian, di dalam keadaan negara yang sedang berjuang membendung wabak jangkitan COVID-19 yang tidak pernah menunjukkan kadar penurunan sehingga sekarang.

“Saya pohon kepada semua anak-anak ini lakukan swab test secara sukarela demi keselamatan diri dan orang sekeliling mereka.

“Setiap nyawa rakyat Malaysia adalah berharga. Kita tidak sanggup kehilangan lebih banyak jiwa tidak bersalah,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi bagaimana pun beliau mengerti mengapa anak-anak muda Malaysia ini sanggup mengambil risiko sedemikian.

Tambah Ahmad Zahid keadaan ini berlaku kerana mereka melihat sendiri perbuatan curang kerajaan membelakangi Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Mereka mahu menzahirkan protes terhadap sebuah kegagalan yang berterusan. Mendesak Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional supaya berundur dan meletak jawatan.

“Secara terang-terang menderhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong serta institusi raja-raja pemerintah.

“Jika Perdana Menteri akur kepada desakan badan politik dan anggota masyarakat protes itu mungkin tidak berlaku,” ujar beliau. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.