PM Perlu Letak Jawatan, Kembalikan Demokrasi Berperlembagaan… Akur Titah Agong – Pemuda UMNO Terengganu

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Pergerakkan Pemuda UMNO Negeri Terengganu sependapat dengan desakan Pergerakan Pemuda UMNO Pusat agar Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin meletakkan jawatan di atas konflik perlembagaan yang mengundang murka Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sekian kalinya.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, kegagalan Perdana Menteri dan kabinetnya mengurus pandemik COVID-19 di waktu ini sangat mengecewakan seluruh pihak, malah ketika mempunyai kuasa penuh dalam Darurat, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin gagal teruk apabila kes harian melonjak tinggi menyumbang lebih 1 juta kes kumulatif yang mengakibatkan kes kematian mencecah 8551 torang.

“Perdana Menteri dan barisan kabinet semestinya dipertanggungjawabkan apabila tidak serius terhadap titah istana agar amalan demokrasi berperlembagaan dikembalikan segera dengan membuka semula Dewan Rakyat.

“Titah KDYMM Tuanku sebanyak dua kali agar membuka parlimen dipermainkan, sehinggalah Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua Dewan dipanggil mengadap supaya Dewan Rakyat dibuka segera untuk membahaskan perihal ordinan-ordinan Darurat dan perancangan pemulihan COVID-19,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu ini.

Tegasnya, amatlah malang apabila siri-siri penderhakaan Perdana Menteri kini mengundang murka istana ekoran pembatalan ordinan-ordinan darurat tanpa perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong malah mengelirukan.

“Hal ini dilihat membelakangi istana sekaligus mencarik-carik Rukun Negara yang digengam erat setiap rakyat Malaysia.”

Dalam masa yang sama, beliau berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu turut memohon agar menteri-menteri UMNO meletakkan jawatan daripada kabinet dan Ahli Ahli Parlimen UMNO perlu menarik segera sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Ini adalah agar ketidakmunasabahan kerajaan hari ini mentadbir tidak terpalit kepada UMNO. Ini juga bertepatan dengan keputusan parti pada 7hb Julai 2021 yang lalu,” katanya lagi yang menyertakan ayat ‘taat demi perjuangan. jangan khianati amanah!’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.