Hari Pahlawan: Bersamalah Kuatkan Azam Pertahan Keutuhan Kedaulatan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Julai – “Marilah mempertahankan keutuhan sebuah kedaulatan dan bersamalah kita menguatkan azam rela mengorbankan jiwa dan raga demi masa depan negara tercinta.”

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menzahirkan ucapan sempena Hari Pahlawan, hari ini.

Ujarnya, Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun bermula 1960 selepas tamatnya darurat menentang komunis tentu ada maksud tersendiri yang cuba disampaikan namun penghayatan di sebalik sambutan Hari Pahlawan ini perlu diserapkan dalam minda dan jiwa anak bangsa.

“Tugas kita hari ini adalah mempertahankan kedaulatan tersebut dari diancam atau dimusnahkan oleh musuh negara dan juga musuh dalam selimut yang akan sentiasa muncul di setiap zaman kerana mengejar kekayaan dan kekuasaan untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, tiada sambutan sempena Hari Pahlawan tahun ini, yang hanya ingin memenuhi kalendar tahunan kecuali ia bertujuan untuk memberi mesej yang penting kepada masyarakat.

“Mereka perlu sentiasa diperingatikan akan pengorbanan para pahlawan negara yang bermandi darah berkorban nyawa di dalam mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

“Pengorbanan mereka akan sia-sia apabila kita hanya berpeluk tubuh tanpa menghirup semangat tersebut agar bersemadi di dalam jiwa anak cucu kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.