Bertabahlah Rakyat… Tiba Masa Buat Pilihan Jangan Lupa Kisah Kegagalan Hari Ini – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ratusan kematian direkodkan saban hari menjadikan keseluruhan telah terkorban lebih 8,500 orang akibat pandemik COVID-19.

Ujarnya, berita kematian menyayat hati ini bagaimanapun membuatkan rakyat Malaysia cukup kesal dan marah kerana kisah pandemik COVID-19 meragut nyawa rakyat tidak bersalah berterusan.

“Berbelas ribu jangkitan dilaporkan sehari. Keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia kini hampir 1.1 juta,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya, hari ini.

Tegas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, jika ini masih belum boleh dianggap sebagai menghampakan maka sangat merisaukan.

“Andai ini masih belum dapat menimbulkan empati pasukan siber mereka apa lagi boleh diperkatakan.

“Yang mereka peduli pantau akaun media sosial Presiden UMNO untuk jaga kepentingan bos mereka. Menjustifikasikan pencapaian terlalu lewat kunjung tiba sedangkan nyawa rakyat terus jadi taruhan.

“Bertabahlah wahai rakyat. Apabila tiba masa perlu buat pilihan jangan lupa kisah kegagalan ini.”

Sebelum itu Ahmad Zahid melahirkan simpati apabila membaca kisah seorang lelaki ditemukan meninggal dunia semasa kuarantin kendiri di rumah beberapa hari lalu.

“Apatah saya juga sedang menjalani kuarantin kendiri. Syukur ke hadrat ilahi keadaan saya ketika ini adalah baik dan masih dapat terus bekerja, berkhidmat dari rumah.

“Saya mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan
yang soleh.

“Ya Allah ampunilah ia. Kasihilah ia. Maafkanlah ia dan tempatkanlah di tempat yang mulia,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.