PM Heret Negara Ke Kancah Krisis Perlembagaan?

1. Kenyataan balas YAB Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin yang keluar lewat petang semalam menimbulkan 1001 persoalan yang hanya menjurus ke arah untuk membuktikan dirinya dan Menteri Undang-undang betul dan pihak lain adalah salah.

2. Di dalam kenyataan tersebut, Mahiaddin telah menyatakan bahawa pada 22 Julai 2021 beliau menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 untuk dimasyurkan oleh Seri Paduka Baginda pada 21 Julai 2021.

3. Kemudian, hanya pada 23 Julai 2021, Mahiaddin mengutuskan warkah tanpa menghadap Seri Paduka Baginda supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan.

4. Susulan daripada itu, pada 24 Julai 2021 barulah Takiyuddin dan Peguam Negara menghadap untuk memberi penjelasan tersebut.

5. Namun, pada 26 Julai 2021 yang lepas Takiyuddin telah mengumumkan bahawa ordinan tersebut telah dibatalkan hanya setelah didesak oleh ahli-ahli parlimen pembangkang dan seterusnya menimbulkan kekecohan di dalam Dewan.

6. Pada 27 Julai 2021, Mahiaddin pula telah menghadap untuk menjelaskan kedudukan tersebut namun pada hari semalam 29 Julai 2021 setelah mendengar dua kali penjelasan Takiyuddin dan Mahiaddin, Seri Paduka Baginda tetap mengeluarkan kenyataan menzahirkan rasa amat berdukacita terhadap Kerajaan PN yang gagal menurut titah Baginda supaya ordinan tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.

7. Persoalan yang timbul daripada situasi ini adalah mengapa Seri Paduka Baginda walaupun telah perkenan menerima penjelasan sebanyak 2 kali tetap menzahirkan rasa amat dukacita terhadap apa yang telah berlaku.

8. Apa yang dilakukan oleh Mahiaddin melalui kenyataan media tersebut adalah seperti mahu mengugut dan mengingatkan Seri Paduka Baginda mengenai kewajipan Baginda untuk patuh kepada apa sahaja nasihat Kerajaan dengan berselindung dengan Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A).

9. Perlu diingatkan bahawa kenyataan Baginda yang dikeluarkan terlebih awal telah jelas menyatakan sedia maklum terhadap perkara tersebut dan menegaskan bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran terutamanya Perkara 150 (2B) dan Perkara 150(3) yang melibatkan kuasa yang terletak pada Seri Paduka Baginda.

10. Saya melihat ketika ini Kerajaan PN terutamanya Perdana Menteri ingin mengheret negara ke kancah krisis perlembagaan.

11. Negara ketika ini sudah pun menghadapi tri-krisis iaitu krisis pandemik COVID-19, krisis ekonomi dan krisis politik yang mana semuanya adalah akibat kelemahan Kerajaan PPBM-PN menguruskan ia dengan baik.

12. Ketika ini, akibat daripada ‘kedegilan’ Mahiaddin untuk membentangkan Ordinan Darurat di Parlimen untuk diungkaikan melalui perbahasan, negara berdepan dengan satu lagi kemungkinan krisis.

13. Saya mendesak agar Mahiaddin memikirkan mengenai hal ehwal negara serta memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat seperti mana yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda melalui kenyataan yang sama.

14. Tidak ada jalan keluar yang lain melainkan mengambil tanggung jawab penuh ke atas perkara ini dan janganlah ‘bertikam lidah’ dengan Seri Paduka Baginda mengenai hal yang mudah untuk diselesaikan di kala negara menghadapi krisis.

15. Sekiranya Mahiaddin benar-benar menjunjung titah dan menghormati institusi raja maka beliau dan Takiyuddin sewajarnya melepaskan jawatan.

16. Jika tidak mahu, maka berdepanlah dengan amarah rakyat!

Mustafa Shah Abdul Hamid
EXCO Pemuda UMNO Malaysia
Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.