Pembohongan Di Parlimen Suatu Bentuk Penderhakaan Total, Parah Dalam Skala Yang Besar

KOTA BHARU, 30 Julai – Wanita UMNO Negeri Kelantan berkata tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu yang membatalkan Ordinan Darurat telah mengheret negara ke rimba krisis perlembagaan.

Tegas Ketuanya Datin Rahimah Mahamad, pengisytiharan yang dibuat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong itu adalah suatu bentuk penderhakaan.

“Dalam dunia yang serba digital ini berbeza dengan dunia tradisional, penderhakaan tidak semestinya menghunus keris telanjang di hadapan Sultan.

“Pembohongan di Parlimen merupakan suatu bentuk penderhakaan total dan parah dalam skala yang besar mengatasi segalanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, Wanita UMNO negeri menjunjung kasih keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam perkara ini kerana ia melibatkan agenda negara.

“Kerana itu Menteri Undang-undang, Perdana Menteri malah kerajaan PN sendiri kena mengambil tanggungjawab ini demi maruah sistem kenegaraan Malaysia,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

Beliau berkata Seri Paduka turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada Isnin telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Ahmad Fadil berkata Al Sultan Abdullah turut menegaskan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. – UMNO ONLINE