Batal Ordinan Darurat Tanpa Perkenan Agong Jelas Cabuli Prinsip Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen

IPOH, 30 Julai – Barisan Nasional (BN) Negeri Perak menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan perasaan amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan-ordinan Darurat.

Kata Pengerusinya Datuk Saarani Mohamad, adalah amat malang apabila keprihatinan Seri Paduka Baginda dalam soal menangani krisis COVID-19 yang mencengkam kehidupan rakyat bukan sahaja dikesampingkan, malah tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong jelas mencabuli prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“BN Negeri Perak bimbang perkembangan ini bukan sahaja akan memberi implikasi besar terhadap kedaulatan undang-undang, malah dikhuatiri akan menjerumuskan negara ke kancah krisis Perlembagaan yang sepatutnya dielakkan dalam keadaan negara sedang bergelut menghadapi krisis kesihatan susulan pandemik COVID-19,” kata Menteri Besar Perak itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, dalam hubungan ini, Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu berjiwa besar untuk memohon keampunan Seri Paduka Baginda serta mengambil tanggungjawab ke atas segala kekhilafan yang berlaku.

Jelas Saarani lagi, menyedari episod hitam yang berlaku hari ini berpunca daripada kegoyahan dan ketidakstabilan politik, maka perlu ada kemahuan politik dari semua pihak untuk mengembalikan kredibiliti Dewan Rakyat dalam menentukan keabsahan sokongan dan kedudukan kerajaan yang ada hari ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.