PM, Menteri Undang-Undang Perlu Letak Jawatan… Tidak Hormati Prinsip Perlembagaan Persekutuan – Zahida

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memandang serius kenyataan media Istana Negara hari ini apabila DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita berkenaan pembatalan semua ordinan darurat berkenaan.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, jelas pengumuman pembatalan Ordinan-ordinan darurat tempoh hari telah membelakangi Tuanku DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara

“Tindakan ini juga bagi kami satu bentuk penderhakaan kepada Tuanku bahkan tidak menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru itu, kami Pergerakan Puteri UMNO Malaysia turut sama meminta Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

“Kami juga mahu mengingatkan Ahli-ahli Parlimen UMNO mesti melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Perdana Menteri hari ini.
Jauhkanlah diri daripada kerajaan yang berkali-kali tidak menghormati titah DYMM SPB YDP Agong,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Ujarnya, pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

“Jika bukan kita mempertahankan Institusi Raja Berpelembagaan, maka siapa lagi?” tegas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.