Muhyiddin Perlu Letak Jawatan, Ahli Parlimen UMNO Perlu Tarik Sokongan Serta Merta – Exco Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Exco Pemuda UMNO Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berpandangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus meletakkan jawatan manakala  semua ahli parlimen UMNO mesti menarik sokongan kepada Perikatan Nasional berkuatkuasa serta merta.

Menurut beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh, setelah pelbagai pihak, termasuk Pemuda UMNO mempertikaikan penamatan tempoh Darurat tanpa makluman awal setelah Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) mengeluarkan kenyataan mengenai tempoh darurat ini di Parlimen, hari ini DYMM Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan rasa dukacita dan murka kepada pihak kerajaan.

“Sebagai sebuah parti yang mendokong penuh institusi Raja Berpelembagaan melalui Perlembagaan UMNO Fasal 3.2, Pemuda UMNO Temerloh tidak akan sesekali berkompromi dengan penderhakaan terhadap institusi beraja,” ujarnya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Malah, ujarnya lagi sikap kerajaan yang berdolak dalik terhadap isu Darurat ini juga menyebabkan rakyat terus sengsara.

“Raja dan Rakyat berpisah tiada. Oleh itu, Pemuda UMNO Temerloh menyeru supaya Ahli Parlimen UMNO mesti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan Perikatan Nasional dengan serta merta bersesuaian dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT UMNO)  pada 7 Julai 2021 yang lalu.

“Jangan sesekali kita biarkan UMNO terpalit sama untuk bersengkongkol dengan mereka yang derhaka kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong. Raja dan Rakyat Berpisah Tiada. Daulat Tuanku,” tambahnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.