Langgar Perlembagaan Dan Derhaka Pada Agong, Mahiaddin Yassin Perlu Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mengambil maklum Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara tengah hari tadi.

Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah berkata pergerakan itu juga mengambil serius dan kenyataan Istana Negara ini jelas mendedahkan apa yang diumumkan Menteri Undang-undang pada Isnin mengenai pembatalan enam Ordinan Darurat adalah satu perkara yang tidak benar dan masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ini jelas Kerajaan dan Mahiaddin Yassin yang mengetuai pentadbiran Kerajaan turut terdesak membenarkan ‘penipuan’ ini berlaku dalam Dewan Rakyat yang mulia, melanggar Prinsip Perlembagaan dan menghina kedaulatan serta kemuliaan Dewan Parlimen.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berpendapat tindakan Kerajaan Perikatan Nasional ini mengundang kepada satu Krisis Perlembagaan yang meruncing dan besar! Perkara ini amat memalukan ditambah dengan krisis keabsahan yang melanda sejak sekian lama. Ini bukti jelas dan nyata ia perlu diatasi segera,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Justeru,tegas Hairi Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak Perdana Menteri, Mahiaddin Yassin dan seluruh barisan Kabinet bertanggungjawab atas perkara yang memalukan ini dengan meletakkan jawatan secara terhormat dan tidak perlu lagi berdolak dalih mencari ‘nyawa’,”

“Diharapkan, semua Wakil Rakyat termasuk Perdana Menteri dan Barisan Jemaah Menteri untuk meletakkan serta menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan sebagai perkara paling utama apabila berada dalam Dewan Parlimen. Jangan biarkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.