Kesal Tindakan Ingkar Titah Agong, UMNO Minta Mahiaddin, Takiyuddin Letak Jawatan Secara Terhormat

KUALA LUMPUR, 29 Julai – UMNO amat kesal dengan tindakan Kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang mengingkari titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO akan meminta Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

“Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sayu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahli-Ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Mahiaddin sebagai Perdana Menteri.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan; memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya lagi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, dalam satu kenyataan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda. – UMNO Online

GDE Error: Error retrieving file - if necessary turn off error checking (404:Not Found)