Kenyataan Istana Negara Jelaskan Segala-Galanya, Titik Hitam Sejarah Demokrasi Berparlimen – Mohamad

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kenyataan Istana Negara telah menjelaskan perkara sebenarnya apabila pembatalan Ordinan Darurat telah dilakukan dengan membelakangkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.

Menurut beliau pengumuman pembatalan tersebut telah dibuat tanpa perkenan Seri Paduka Baginda dan tindakan Kerajaan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara telah mengundang murka DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

“Mereka telah tidak melaksanakan titah baginda agar cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Tindakan Kerajaan dalam perkara ini adalah tidak berparlimen, tidak berpelembagaan dan telah meletakkan kedudukan mulia institusi raja pada kedudukan yang tidak sewajarnya,” katanya menerusi catatan di facebook.

Tegas Mohamad  mereka yang berkaitan mesti mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan segera.

“Institusi Parlimen telah tercemar dengan tindakan tidak bertanggunjawab ini. Peristiwa ini adalah titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen Malaysia.” Ujarnya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda. – UMNO Online

 

 

 

 

 

 

 

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.