Kenyataan Istana : BN Pahang Tuntut  Kerajaan Pusat Bertanggungjawab Atas Kekhilafan

KUALA LUMPUR, 29 Julai –  Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang menjunjung titah atas penzahiran perasaan amat dukacita Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Bin Wan Ismail berkata pembatalan ini disebut di Parlimen pada 26 Julai lepas oleh wakil Kerajaan Pusat, tetapi sebenarnya tidak mendapat perkenan Baginda terlebih dahulu sepertimana titah maklum Baginda dalam kenyataan media dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.

“BN Negeri Pahang ditunjangi UMNO, juga berasa teramat sedih dan sangat kesal dengan kejadian ini yang bukan sahaja membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara, malah prinsip kedaulatan undang-undang sekali pun.

“Bak kata pepatah, ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Dalam hal ini, yang terlajak bukan setakat tutur kata malah dalam tindakan sehingga mengelirukan rakyat-jelata.,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Wan Rosdy seterusnya menambah oleh itulah, BN Negeri Pahang menuntut agar Kerajaan Pusat mengambil tanggung jawab sepenuhnya atas kekhilafan yang sangat nyata ini dan sikap membisu sehingga kini, tidaklah sekali-kali membantu.

“Umpama ‘Sudah terang lagi bersuluh’, tiada pilihan yang ada kepadanya kecuali permohonan keampunan ke sisi Seri Paduka Baginda, serta tindak balas sewajarnya yang perlu diambil oleh YAB Perdana Menteri, serta menteri yang bertanggung jawab mengenainya,” ujarnya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda. – UMNO Online- UMNO Online

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.