Derhaka Kepada Agong : Perdana Menteri Harus Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor menyokong pandangan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meminta agar Perdana Menteri meletakkan jawatan dan tuntutan tersebut berdasarkan Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

Ketuanya Datuk Hj Rizam Haji Ismail berkata kenyataan media Istana Negara juga mendedahkan bahawa Kerajaan dengan sengaja telah ingkar dan melanggar Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru  Pergerakan Pemuda UMNO Selangor mengambil inisiatif selari dengan pandangan Ketua Pemuda UMNO Malaysia mendesak supaya YAB Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk segera meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri kerana jelas melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi sebagai sebuah parti yang kukuh dalam menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu serta kedaulatan negara maka desakan pemecatan Perdana Menteri ini harus dilakukan demi mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Malaysia dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.