Pembatalan Darurat Secara Tiba-Tiba, Penghinaan Kepada Institusi Parlimen Dan Rakyat – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mempersoal langkah kerajaan yang secara tiba-tiba mengisytiharkan bahawa semua enam Ordinan Darurat yang telah diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini direvoke atau telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata keadaan ini mengundang kekeliruan malah dikecam hebat warga netizen termasuk juga pengamal undang-undang yang menyifatkan ianya sebagai penghinaan terhadap Parlimen serta rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Persoalan paling utama apakah yang berlaku dengan keputusan atau penguatkuasaan yang dibuat berdasarkan Ordinan Darurat selepas tarikh backdated pembatalan itu pada 21 Julai lalu? Ini memberi satu implikasi perundangan yang besar dan mana mungkin kerajaan tidak sedar perkara ini? Ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main sesuka hati.

“UMNO tidak mempersoalkan mengapa Ordinan Darurat ini dibatalkan, malah Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor bersetuju dan menyambut baik ianya dibatalkan, tetapi mestilah dengan cara yang betul dan dimaklumkan secara rasmi kepada semua pihak sebelum pengumuman seperti itu dibuat,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelas beliau pembatalan Ordinan Darurat ini memberikan gambaran bahawa pengisytiharan darurat yang dilaksanakan sejak 13 Januari lalu sehingga bakal tamat beberapa hari lagi ini adalah gagal dan tidak memberi sebarang impak terutama dalam menentang pandemik COVID-19.

“Contoh paling jelas, ketika dalam tempoh darurat bilangan kes tidak menunjukkan penurunan langsung, malah meningkat secara mendadak sehingga mencecah hampir 18,000 kes sehari, berbanding dengan tempoh sebelum darurat dilaksanakan. Ini satu contoh jelas dan mudah darurat bukan satu langkah terbaik mengawal jangkitan COVID-19.

“Kedua, dengan adanya darurat dan kuasa diberikan kerajaan seharusnya dapat bertindak lebih menyeluruh dengan mempergiat proses pemberian vaksin, malah dalam tempoh darurat juga boleh mengarahkan mana-mana hospital, klinik swasta atau premis perubatan bukan kerajaan untuk dijadikan fasiliti kerajaan selain turut sama membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru berkata walaupun dalam keadaan darurat, kerajaan masih takut mengarahkan penutupan kilang besar, mengarahkan bank membantu rakyat dengan memberikan moratorium tanpa syarat selain menyediakan kemudahan lain bagi meringankan peminjam, tidak ada melainkan didesak oleh pemimpin politik atau netizen di media sosial.

Katanya darurat ini tidak langsung memberi kelebihan pada mana-mana pihak melainkan ia memberi kelebihan dan ‘nyawa’ kepada pihak eksekutif untuk terus ‘bernafas’ dan mengambil gaji mereka yang lumayan.

“Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak Menteri Undang-Undang untuk menjelaskan situasi terkini mengenai penguatkuasaan Ordinan Darurat dengan sejelas-jelasnya selepas menimbulkan pelbagai persoalan dan rasa tidak senang rakyat dengan kenyataan diberikan beliau pada Mesyuarat Khas Parlimen pagi tadi.

“Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan untuk seiring dengan keputusan dan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sejak dari awal membantah dan tidak pernah bersetuju dengan Proklamasi Darurat,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.