Mesej Doktor Kontrak Jelas, Kerajaan Perlu Cari Jalan Penyelesaian Terbaik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 27 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan kerajaan untuk berkompromi dan cuba mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya bersama doktor lantikan kontrak yang berkhidmat di hospital-hospital seluruh negara.

Jelas beliau, lebih-lebih lagi para doktor ketika ini berada dalam kepenatan dan tekanan melindungi nyawa rakyat daripada pandemik COVID-19.

“Laporan media menyebut sebelum hartal berlangsung ada doktor kontrak telah diugut dan sebagainya. Adakah jika kerajaan berkonfrontasi dengan para doktor tidak menguntungkan rakyat dan negara?.

“Ramai juga doktor kontrak dikatakan mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu. Beberapa minit sahaja mereka keluar beramai-ramai dari fasiliti kesihatan tempat mereka bekerja sebagai tanda bantahan tuntutan mereka diserapkan ke jawatan tetap tidak dipeduli kerajaan.

“Mereka malah kembali semula menjalankan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi perarakan aman yang dilakukan mereka itu bukanlah mogok dalam erti kata sebenar namun cuma mahu menyampaikan mesej yang cukup besar kepada kerajaan.

“Bagaimanapun saya juga berharap Hartal Doktor Kontrak ini sekali sahaja sudah mencukupi kerana mesej para doktor kontrak sudah jelas.

“Seluruh negara telah tahu tentang dilema mereka ketika ini. Mereka cuma mahukan jaminan dalam keadaan pandemik dan norma baharu yang luar biasa,” ujar beliau. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.