Menteri Beri ‘Lesen’ Kepada Kilang Panas Telinga, Salahkan Orang Lain Tak Beri Sebarang Kesan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz ketika di Dewan Rakyat semalam bahawa lebih 50 peratus kluster tempat kerja melibatkan subkategori pengilangan perlu diambil perhatian.

Rekod yang disebutkan Tengku Zafrul tersebut diambil sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa bermula 1 Jun 2021.

“Lebih tepat sebanyak 373 daripada 753 kluster tempat kerja yang direkodkan di Malaysia sehingga 23 Julai 2021.

“Menteri Kewangan malah mengaku kluster tempat kerja mencatat kluster jangkitan COVID-19 tertinggi dalam tempoh tersebut. Membabitkan hampir 60,000 kes jangkitan wabak COVID-19,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, keadaan itu menyebabkan menteri yang bertanggungjawab memberi ‘lesen’ kepada kilang beroperasi sepanjang total lockdown menjadi panas telinga.

“Mana boleh tahan beliau seorang saja kena di Parlimen agaknya. Lalu menteri berkait ‘lesen’ operasi ‘petik’ sama kawan-kawan lain.

“Beliau kata keputusan benarkan kilang-kilang beroperasi semasa total lockdown bukan keputusan beliau seorang. Keputusan benarkan kilang-kilang beroperasi dibuat secara kolektif dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bukankah Mesyuarat MKN dipengerusikan oleh Perdana Menteri? Perdana Menteri pun kena ‘petik’ gamaknya,” soal beliau.

Tambah Ahmad Zahid lagi sikap saling tuding-menuding ini tidak memberikan sebarang kesan kerana setakat ini sudah 60,000 sudahpun dijangkiti

“Jika mereka ikut saranan kita ketika itu supaya dilaksanakan total lockdown yang benar-benar total, mungkin keadaan tidak seteruk itu.

“Bukan untuk selama-lamanya. Hanya sehingga kita berjaya mengasingkan dan merawat mereka yang dijangkiti sekali gus menurunkan kadar jangkitan.

“Namun inilah antara sebab mengapa kita desak supaya Parlimen bersidang. Supaya kita tahu fakta sebenar,” jelas beliau. – UMNO Online