Kerajaan Perlu Perjelas 3 Perkara Isu Ordinan Darurat – Najib

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung isu Ordinan Darurat secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan terhadap ahli Parlimen dan rakyat seluruhnya.

Menurut Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat tiga persoalan yang perlu dirungkai selepas kerajaan memaklumkan Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

“Adakah proses undang-undang telah diamalkan dalam erti kata apa-apa pembatalan Ordinan Darurat mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan digazetkan. Ini tidak dijelaskan.

“Kedua, pembatalan Ordinan Darurat ini boleh dibuat secara ‘backdated’ atau diterkebelakangkan, sama ada ini boleh dilakukan sebab implikasinya terhadap apa-apa tindakan yang diambil pihak berkuasa selepas 21 Julai itu boleh dipersoalkaan atau terbatal dari segi Undang-undang.

“Yang ketiga, enam ordinan termasuk ordinan pertama iaitu Induk Darurat 2021 boleh timbulkan soal kesahihan dari segi kesahihan Undang-undang dan keabsahan kerajaan dari 21 Julai sehingga 1 Ogos,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Jelas beliau, kenyataan tersebut amat mengelirukan maka penjelasan secara terperinci perlu dibuat secepat mungkin.

Dalam masa yang sama, Najib berkata, mengikut proses yang betul, kerajaan perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, kemudian Seri Paduka memperkenan dan digazetkan.

“Barulah ia lengkap dari segi proses undang-undang. Dan ini pernah kita lakukan zaman saya dulu pun, undang-undang darurat yang kita batalkan mengikut proses ini.

“Perlu dibentangkan di kedua-dua dewan,” katanya. – Utusan.com

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.