Elak Malapetaka Lebih Besar, PKP Menyeluruh Perlu Dilaksanakan Sekurang-kurangnya 14 Hari – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpandangan kerajaan tiada pilihan selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau total lockdown menyeluruh selama sekurang-kurangnya 14 hingga 21 hari.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata PKP kali ini mestilah dilaksana seperti PKP 1.0.

“Semua sektor ditutup sepenuhnya. Tiada lagi kilang dibenarkan beroperasi atas nama essential services selama 14 hingga 21 hari, kecuali kilang makanan yang tiada pilihan untuk mengedarkan makanan keperluan rakyat.

Total lockdown kali ini juga memerlukan kerajaan menyalurkan bantuan secukupnya kepada sekurang-kurangnya golongan M40 dan B40 dengan cadangan bantuan tunai RM2,000 setiap isi keluarga yang memberi implikasi kewangan negara RM30 hingga RM40 bilion.

Total lockdown kali ini juga mewajarkan kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra dengan jumlah yang lebih besar sekurang-kurangnya RM10,000 secara one-off dan moratorium daripada bank-bank termasuk agensi kerajaan seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam tanpa faedah terakru selama 3 bulan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya, meskipun jumlahnya nampak besar tetapi nilai RM40 bilion itu jika dibandingkan dengan 8,201 nyawa yang telah terkorban dan kian meningkat jauh lebih membimbangkan rakyat.

“Apa sangat nilai RM40 bilion, jika dibandingkan dengan kerugian berlipat-ganda jika kes baharu masih melangkaui 10,000 kes hingga PKP berterusan yang melumpuhkan terus aktiviti ekonomi?

“Benar, program vaksinasi mesti disegerakan agar negara mencapai tahap imuniti kelompok secepat mungkin. Namun, secara realistik akan mengambil masa beberapa bulan lagi.

“Rakyat tidak boleh dibiarkan sengsara berterusan dan menunggu beberapa bulan lagi tanpa bekerja dan apa-apa pendapatan akibat PKP yang tiada berkesudahan,” katanya.

Menurut Asyraf lagi total lockdown ini dapat mengelakkan malapetaka lebih besar jika perkhidmatan kesihatan negara lumpuh dan tidak dapat lagi menampung jumlah pesakit yang kian meningkat terutama di Unit Rawatan Rapi dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Justeru, lebih baik susah sekali daripada berkali-kali. Utamakan nyawa lebih daripada kepentingan ekonomi!” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.