Darurat Ternyata Gagal Dan Menyusahkan Rakyat – Fairuz Edzuan

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Edzuan Jamaludin berkata mengikut statistik data jelas menunjukkan bahawa darurat yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini telah gagal mengawal penularan pandemik COVID-19.

Jelasnya ini kerana pada awal pengisytiharan darurat iaitu pada 12 Januari, kes harian hanyalah 3,309 namun selepas hampir tujuh bulan pada 27 Julai kes harian meningkat secara drastik dan memecahkan rekod dengan 17,045 kes.

“Daripada 141,533 kes pada 12 Januari, hari ini meningkat kepada 1,027,954. Pada dasarnya, ini menunjukkan darurat adalah gagal dan menyusahkan rakyat.

“Namun, dalam persidangan Parlimen semalam, amat mengejutkan apabila dimaklumkan bahawa enam ordinan darurat telah pun dibatalkan pada 21 Julai tanpa sebarang pengumuman oleh kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Malah Fairuz turut mempersoal apakah benar Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan untuk membatalkannya ini kerana hanya baginda sahaja yang mempunyai kuasa meluluskan dan membatalkan Ordinan-ordinan tersebut.

“Ini amat memusykilkan, terutamanya tentang status pentadbiran, perbelanjaan dan latar demokrasi negara sepanjang lima hari sejak 21 Julai 2021 yang lalu. Apakah statusnya?

“Situasi ini menunjukkan seolah-olah kerajaan Perikatan Nasional menggunakan ordinan ini untuk kepentingan sendiri.

“Sebagaimana yang dibangkitkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, saya menyokong penuh saranannya untuk kerajaan memberi penjelasan terhadap segala persoalan berbangkit,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.