Batal Darurat Tanpa Makluman Awal Bukti Kerajaan Gagal Tangani COVID-19 – Azril Rizal

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit menyifatkan kenyataan Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai pembatalan darurat pada 21 Julai lalu amat mengejutkan.

Katanya, malahan ianya hanya dimaklumkan semalam walaupun telah ditamatkan lima hari sebelumnya.

“Ternyata tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan yang tidak munasabah dan melanggar prinsip-prinsip Ordinan Darurat yang memerlukan ia dimaklumkan di dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Bayangkan pembatalan tempoh pelaksanaan ordinan yang amat-amat penting seperti ini tidak diuar-uarkan sesegera mungkin sedangkan ia satu perkara yang amat mendesak untuk diketahui oleh rakyat dan negara?

“Malah kalau diperhalusi, Proklamasi dan Ordinan Darurat ini perlu melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum dibatalkan dan kerajaan perlu menjawab persoalan ini dengan segera!” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Temerloh berkata persoalan yang dilontarkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi berkaitan pembatalan pelaksanaan Ordinan Darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga haruslah dijawab dengan segera oleh kerajaan supaya tidak terus menimbulkan curiga dalam kalangan rakyat.

Jelas Azril meskipun ketika pelaksanaan darurat, kes COVID-19 saban hari tetap melonjak naik sehingga akhirnya kini sudah mencecah angka 1 juta kes secara keseluruhan.

“Angka kematian juga melonjak tinggi menjadi bukti bahawa tindakan mengisytihar darurat selama ini juga telah gagal dan tindakan Proklamasi Darurat adalah perbuatan yang sia-sia.

“Pastinya, desakan-desakan daripada Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam mempersoalkan tindakan-tindakan kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 dalam tempoh darurat adalah berasas dan bukan bersifat populis seperti yang dituduh pihak tertentu,” jelas beliau.

Tambahnya rakyat dapat melihat bagaimana kerajaan menggunakan darurat mengekalkan kuasa dan bukan membantu rakyat secara menyeluruh.

“Tentu sekali, dalam keadaan ini adalah amat wajar untuk kerajaan menjelaskan juga punca-punca kegagalan mengatasi angka kes pesakit COVID-19 yang semakin meningkat sepanjang tempoh darurat ini ketika Parlimen bersidang dan wajar jualah Perdana Menteri mengambil tanggungjawab atas kegagalan ini,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.