Ternyata Darurat Adalah Dasar Kerajaan Yang Gagal Dan Sia-Sia! – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pengumuman kerajaan hari ini telah memperakui bahawa Proklamasi Darurat adalah dasar yang gagal dan sia-sia kerana ternyata lebih memudaratkan rakyat dan negara termasuklah implikasinya kepada kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk perlaksanaan kompaun-kompaun yang melampau dan bersifat ‘dwi-standard’.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pengumuman Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pagi tadi yang mengisytiharkan bahawa semua Ordinan-Ordinan Darurat yang telah diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong telah dibatalkan pada 21 Julai lalu dan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan Proklamasi Darurat mengundang pelbagai persoalan, kekeliruan dan kecurigaan.

“Pertama, tindakan kerajaan yang dilihat tergesa-gesa mengumumkan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat semacam mengesahkan pendirian UMNO bahawa Ordinan-Ordinan ini mesti dibahas dan ditentukan keabsahannya dalam Parlimen sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 150 (3).

“Kedua, tindakan kerajaan yang tidak mengumumkan pembatalan melalui pewartaan yang jelas lebih awal, mencetuskan tanda tanya apakah benar Yang di-Pertuan Agong telah perkenankan pembatalan tersebut kerana hanya baginda sahaja yang mempunyai kuasa meluluskan dan membatalkan Ordinan-Ordinan tersebut.

“Ketiga, apakah status segala kompaun dan denda yang dikenakan ke atas rakyat setelah Ordinan-Ordinan Darurat dibatalkan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Jelas Dr Asyraf lagi, keempat, apakah status segala operasi pentadbiran, perbelanjaan dan penggunaan wang Kerajaan tanpa mengikut Bajet sejak 21 Julai 2021 lalu.

“Kelima, dengan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini, apakah implikasi ke atas status kerajaan hari ini lantaran Parlimen yang dibiarkan tidak bersidang selama enam bulan sebagaimana Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, sedangkan sebelum ini Peguam Negara menjadikan alasan kewujudan Ordinan Darurat yang mengatasi Perlembagaan sepanjang tempoh darurat,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Asyraf berkata persoalan-persoalan di atas perlu diperjelaskan segera kerana boleh memberi kesan besar terhadap kebajikan rakyat dan sistem pentadbiran negara.

Walau bagaimanapun katanya, Pemuda UMNO menyambut baik pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini yang seiring dengan pendirian UMNO sebelum ini yang tidak pernah bersetuju bahkan menentang Proklamasi Darurat ini sejak dari awal sebagaimana keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 29 Oktober 2020, 25 April 2021, 16 Jun 2021 dan yang terbaru 7 Julai 2021. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit