Petugas Kesihatan Kontrak Perlu Diserapkan, Khidmat Mereka Amat Diperlukan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Rakyat saban hari ditekankan supaya menerap norma baharu dalam kehidupan dan kata kerajaan, cara menguruskan kehidupan harian tidak boleh sama lagi, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, pandemik telah mengubah semua termasuk perhubungan dan pekerjaan serta setiap perkara perlu mengambil kira tentang ancaman wabak COVID-19.

“Tetapi tidak adil jika rakyat sahaja perlu menerap norma baharu. Kerajaan perlu juga menerapkan norma baharu dalam pentadbiran.

“Kena lihat kepada keperluan dan kesesuaian semasa dalam setiap perkara. Antaranya dalam menguruskan desakan petugas kesihatan kontrak.

“Mereka ini barisan hadapan negara yang sangat penting ketika ini. Dulu kita bukan dalam perang melawan pandemik. Kini mereka amat diperlukan untuk berjuang di medan paling hadapan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di Facebook.

Sehubungan itu jelas Ahmad Zahid, tuntutan mereka untuk diserap perlu dipertimbangkan sebaik mungkin.

“Saya percaya setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Semoga pihak terlibat akhirnya dapat mencapai keputusan menang-menang.

“Jika ini gagal diuruskan, malapetaka apa lagi agaknya bakal dihadapi negara? Wallahua’lam,” katanya lagi.

Dilaporkan, kira-kira 23,000 pegawai perubatan kontrak akan meneruskan rancangan hartal (mogok) pada hari ini setelah kecewa dengan keputusan kerajaan yang tidak menyentuh soal status pelantikan mereka ke dalam perkhidmatan tetap kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju agar pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan kontrak perkhidmatan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.