Bantuan Sembilan ‘Oxygen Concentrator’ Kepada Hospital Ampang Tanda Solidariti Hadapi COVID-19 – Megat Zulkarnain


KUALA LUMPUR, 26 Julai – Sembilan unit oxygen concentrator telah diserahkan kepada Hospital Ampang bagi membantu merawat pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata keprihatinan itu juga secara langsung bagi memudahkan para petugas barisan hadapan dalam menangani wabak ini.

“Kami telah pun menyampaikan bantuan sembilan unit oxygen concentrator kepada Pengarah Hospital Ampang Dr Kasuadi Hussin ini sebagai tanda prihatin dalam kita mengetahui bahawasanya hari ini semua hospital-hospital yang telah pun diangkat sebagai hospital COVID-19 berhadapan dengan masalah yang agak meruncing terutamanya mesin oksigen.

“Jadi atas dasar kemanusiaan ini saya dan juga UMNO Bahagian Ampang serta Pandan telah pun menyampaikan sembilan unit ini untuk sedikit sebanyak membantu pesakit-pesakit COVID-19 di dalam keadaan mereka berhadapan dengan situasi yang amat sukar ini.

“Kerana daripada pengalaman mereka yang berhadapan dengan wabak ini kepayahan bernafas atau pun bantuan oksigen ini adalah suatu perkara yang luar biasa keperluannya,” katanya.

UMNO juga katanya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada anggota perubatan dan barisan hadapan atas kesungguhan, pengorbanan tanpa jemu terus berjuang demi keselamatan nyawa serta kesihatan rakyat.

Beliau juga Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Gombak memaklumkan mesin oxygen yang mempunyai saiz 10 liter itu berkemampuan digunakan oleh dua pesakit pada masa yang sama.

Oxygen concentrator merupakan alat yang menghasilkan gas oksigen dari gas udara biasa dengan mengeluarkan nitrogen secara selektif untuk membekalkan aliran gas produk yang diperkaya oksigen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.