Berusia Lebih Tujuh Dekad, UMNO Semakin Matang Dan Berpengalaman Tempuh Pelbagai Cabaran – Presiden


KUALA LUMPUR, 15 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO selepas menjangkaui usia 75 tahun semakin matang, berpengalaman, berpengetahuan dan berkemahiran.

Lebih penting kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, UMNO memiliki lebih banyak pengalaman dan pelbagai cabaran.

“Terutama selepas tiga tahun detik hitam 9 Mei 2018. Pelbagai ujian cabaran duri dan ranjau yang dilalui.

“Kesetiaan menjadi tunggak utama meneruskan sebuah perjuangan. Sekarang kita memahami aspirasi perlu dipenuhi,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Ahmad Zahid juga berharap UMNO kembali sebagai teras pentadbiran.

“Akan sangat mantap menterjemah sanubari rakyat. Resam hidup yang telah mengalami lebih memahami.

“Kematangan UMNO sebuah proses berterusan. Apabila diangkat semula, insya-Allah, UMNO jauh lebih hebat,” katanya lagi.

Pada 11 Mei lalu, UMNO menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 75.

Presiden dalam perutusannya ketika meraikan jubli intan parti mengajak ahli-ahli UMNO untuk terus bersatu hati bagi memastikan kesinambungan perjuangan UMNO.

Begitu juga beliau berkata UMNO adalah parti yang paling dipercayai tidak pernah memungkiri manifesto atau aku janji, mempunyai rekod kecemerlangan mengemudi negara, memakmurkan ekonomi, menjaga kepentingan rakyat dan menjamin kestabilan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.