Zahid Kongsi Kerisauan Kes Harian COVID-19 Cecah Lima Angka

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Apa yang dikhuatiri akhirnya telah jadi kenyataan dan apa yang telah mereka ramalkan telah pun berlaku, demikian lontaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, beliau seterusnya menegaskan kes jangkitan harian COVId-19 di Malaysia sudah pun mencapai lima angka iaitu lebih 11,000.

“Hujah peningkatan itu disebabkan proses saringan dipertingkat “not applicable”. Faktanya sebanyak 870 kluster aktif telah direkodkan dengan lebih 96,000 kes jangkitan aktif,” katanya.

Katanya lagi hampir 7,000 nyawa sudah terkorban akibat kegagalan mengawal pandemik dan kadar R-naught iaitu kadar kebolehjangkitan kini mencapai 1.14.

Malah tambahnya lebih tinggi berbanding R-naught 1.07 yang menyebabkan PKP dilaksanakan bermula 1 Jun.

“Satu-satunya pencapaian terbaik kerajaan PN berjaya beli kontena untuk menyimpan mayat. Sebenarnya kita tidak pasti pun sama ada itu wajar dianggap sebagai pencapaian.

“Tetapi seperti biasa pendukung bunga dan jentera siber mereka berusaha memanipulasi fakta. Jentera siber kata kes Covid-19 makin tinggi maka sebab itu Parlimen tidak boleh bersidang.

“Faktanya sejak Parlimen tidak bersidang maka kes Covid-19 semakin tinggi dan tidak terkawal. Pendukung bunga kata kes Covid-19 makin teruk maka sebab itu Perdana Menteri perlu dipertahan.

Walhal kes Covid-19 makin teruk cerminan kegagalan ketua kerajaan PN mengurus pandemik.

“Pendukung bunga dan jentera siber upahan kata jangan main politik pada waktu pandemik,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.