Terima Kasih Atas Kepercayaan, Kita Laksanakan Bersama Yang Terbaik Untuk Parti – Mohamad

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberikan kepercayaan terhadapnya sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia.

Menerusi kenyataan ringkas di dalam Facebooknya, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap untuk sama-sama melakukan yang terbaik untuk parti berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Terima kasih Datuk Seri Presiden atas kepercayaan kepada saya sebagai Pengarah Pilihanraya UMNO Malaysia. Kita buat yang terbaik untuk Parti menghadapi PRU-15 nanti, InsyaAllah,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia berkuatkuasa serta merta.

Katanya yang juga Pengerusi BN, penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya UMNO ini bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi.

“Timbalan Presiden UMNO, YB Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini menjalankan tugas sebagai Pengerusi War Room Barisan Nasional dan UMNO dengan ini saya amanahkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelasnya, dengan kedudukan Mohamad Hasan sebagai Timbalan Pengerusi(BN), ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan Pilihan Raya yang melibatkan semua parti-parti komponen BN.

“UMNO Malaysia ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang sebelum ini menggalas amanah sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.