Pekebun Getah…Antara Yang Terkandung Di Dalam 55 Cadangan UMNO – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkongsi salah satu daripada 55 cadangan yang dibawa kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan memberi penekanan kepada golongan pekebun getah.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO semua golongan rata-rata terkesan hari ini dan pekebun kecil getah juga tidak dapat lari daripada menerima tempias tersebut.

“Pekebun getah hadapi jalan sukar. Wajar kilang sarung tangan guna sebahagian getah asli bukan tiruan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Ahmad Maslan lagi pekebun getah juga perlu dilihat dalam soal aspek penanaman semula selain pekebun sawit dengan menyalurkan geran dan sebagainya.

“Tanam semula getah tua ke getah atau sawit mesti diberi geran. Usaha lain juga boleh dibuat dengan mencari kaedah untuk mengusahakan campuran getah dalam pembinaan jalan raya wajar diteruskan.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Parlimen untuk dibahaskan demi kepentingan rakyat.

Katanya, UMNO telah menyampaikan 55 cadangan yang antaranya membuka sidang Parlimen secara bersemuka dan membahaskan Ordinan Darurat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian dalam ciapan di Twitternya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kementerian Kewangan.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.