Kerajaan Perlu Beri Perhatian Terhadap Industri Seni Tanah Air


KUALA LUMPUR, 14 Julai – Mereka yang terlibat dalam industri seni tanah air pun tidak tertahan agaknya sehingga adakan kempen ‘Apa Khabar Anak Seni’ untuk menarik perhatian ramai tentang nasib mereka.

Perkara demikian menarik perhatian Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau berkata jangan salah faham industri seni bukan saja tentang golongan artis, pelakon dan penyanyi.

“Para pekerja di sebalik tabir, krew dan lain-lain juga sebahagian daripada industri itu. Malah jumlah mereka ini jauh lebih ramai dalam industri dan kebanyakannya B40.

“Sebahagiannya bergantung pendapatan berdasarkan projek. Tiada projek tiada pendapatan. Persatuan Seniman Malaysia turut menyatakan kekesalan baru-baru ini,” ujar Pengerusi Barisan Nasional itu dalam satu perkongsian di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga memaklumi industri seni tanah air berisiko menyembah bumi tidak lama lagi.

“Industri seni dikatakan tidak lagi mampu bertahan untuk tempoh yang lebih lama. Ya benar. Semakin ramai terus-terang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang sedia ada.

“Yang puas hati cuma pendukung dan jentera siber mereka kerana syok bergayut kepada kuasa yang sementara,” tegasnya lagi.

Justeru Ahmad Zahid memohon kepada anak seni negara dan rakyat keseluruhan agar terus tabah.

“Bersama kita doakan semoga semuanya kembali pulih seperti sediakala.
“Allah angkat wabak dan penyakit COVID-19 ini dari negara kita dan seluruh dunia secepat mungkin.

“Kemudian bersama kita bangunkan semula negara seperti yang pernah kita nikmati bersama Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.