UMNO Bawa Cadangan Demi Rakyat… SUA Harap Kerajaan Bentang PPN Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Parlimen untuk dibahaskan demi kepentingan rakyat.

Katanya, UMNO telah menyampaikan 55 cadangan yang antaranya membuka sidang Parlimen secara bersemuka dan membahaskan Ordinan Darurat.

“UMNO juga mencadangkan segerakan vaksinasi imuniti kelompok seawal bulan Okt, mudahkan bantuan KWSP, moratorium, BPR, potongan cukai selain bantu PdPR dengan baiki capaian internet di samping tambah bantuan tunai dan bantu ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian dalam ciapan di Twitternya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kementerian Kewangan, hari ini.

Sebelum itu beliau menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberikan kepercayaan untuk menyampaikan cadangan terbabit bagi mewakili parti.

Turut bersama dalam pertemuan ini ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga menyampaikan 10 tuntutan rakyat yang merupakan rumusan isu-isu utama termasuk tambahbaik pakej bantuan i-Citra, Moratarium, LPPSA, BPR.

Kata Dr Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO rumuskan hasil maklum balas ribuan komentar dan mesej-mesej peribadi yang telah diterima termasuk Hotline Pemuda UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.