Nasib Rakyat… PN Terlalu Sibuk Bermain Politik Untuk Kukuhkan Kuasa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasa sedih, kesal, geram bercampur baur dan remuk tatkala membaca berita berkaitan segelintir nelayan yang sanggup beralih ke jenayah dengan menjadi penyeludup daun ketum demi sumber pendapatan.

Jelas beliau, pasti mereka yang ada hati perut dan perikemanusiaan juga merasa begitu.

“Mengapa begini sekali nasib rakyat Malaysia di bawah kerajaan PN?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook berkaitan isu terbabit.

Bidasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), mereka ini terlalu sibuk bermain politik untuk mengukuhkan kuasa sehingga terhakis nilai keinsanan

“Sehinggakan nelayan sanggup mengambil risiko jadi penyeludup daun ketum demi menyara diri dan keluarga selepas tidak dapat turun ke laut kerana PKP.

“Benar perbuatan itu merupakan suatu kesalahan. Biarlah undang-undang yang menentukan.”

Ujarnya, beliau tidak menyokong kepada perbuatan yang menyalahi undang-undang, tetapi sebagai manusia apabila mengetahui kisah disebalik cerita naluri mana tidak tersentuh.

“Saya percaya jika penularan pandemik dapat diselesaikan lebih awal dengan pelbagai cadangan oleh UMNO pasti nasib nelayan kita berbeza.

“Saya percaya jika ada bantuan sewajarnya seperti yang selalu UMNO desak pasti tidak begitu keadaannya dan saya pasti pasukan siber sebelah sana tidak peduli pun semua itu.

“Walau apa penderitaan rakyat tugas mereka menjaga reputasi dan kedudukan bos mereka. Tugas seterusnya ‘serang’ Presiden UMNO kerana enggan membenarkan UMNO dibawah telunjuk,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.