Tindakan Tegas MB Pahang Dipuji, Tidak Terpengaruh Provokasi Raih Sokongan Politik – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Wanita UMNO Malaysia memuji tindakan tegas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kejadian teroka tanah haram di Hutan Simpan Kekal Batu Talam Raub Pahang.

Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah yang diambil amatlah baik dan menunjukkan kerajaan negeri tegas mengenai isu ini.

“Wanita UMNO Malaysia menyokong penuh tindakan tegas YAB Datuk Seri Wan Rosdi khasnya dan kerajaan negeri Pahang amnya.

“Penguatkuasaan undang-undang tidak terpilih kepada sesiapa pun juga tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi oleh pihak-pihak berkepentingan yang mahu meraih sokongan politik.

“Wanita UMNO Malaysia menghargai tindakan yang baik dan tidak membelakangkan undang-undang,” tegas beliau menerusi satu kenyataan media.

Terdahulu, Wan Rosdy memaklumkan keputusan kerajaan negeri Pahang menebang pokok durian musang king yang ditanam secara haram dalam kawasan itu adalah kerana mengambil kira status kawasan itu sebagai hutan simpan kekal . – UMNO Online