Resort Kibar Bendera Putih, Luahan Kegagalan Kerajaan… Tukar Nakhoda Untuk Pulihkan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekecewaan beliau apabila sebuah resort di Negeri Sembilan mengibarkan bendera putih sebagai solidariti kepada industri pelancongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas beliau, tindakan tersebut adalah sebagai lambang kekecewaan mereka terhadap kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membantu industri tersebut.

“Gagal membantu industri itu bertahan semasa pandemik. Kata resort itu bendera putih juga sebagai solidariti. Solidariti untuk pusat penginapan di seluruh Malaysia.

“Kita tahu banyak premis seumpamanya memang telah ditutup. Nasib 3.6 juta pekerja industri itu terus dihimpit dilema. Maka perlu bukti apa lagi tentang kisah sebuah kegagalan?

“Kegagalan kerajaan PN membela rakyat dan menjaga ekonomi negara. Kegagalan menangani pandemik supaya negara cepat pulih,” luah beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, ini antara sebab UMNO perlu bertindak kerana sudah terlalu banyak peluang diberikan kepada kerajaan namun semuanya masih gagal.

“Menukar nakhoda sebagai pemulihan jangka masa pendek. Dan Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai pemulihan jangka masa panjang.

“Demi rakyat, demi negara, demi segala-galanya yang diperlukan atas nama Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.