Azmin Kalau Sudah ‘Mati Rasa’ Baik Letak Jawatan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mempersoal kewajaran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan mengambil kesempatan melancong ke tempat bersejarah Hagia Sophia di Turki.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab ketika rakyat masih bergelut dengan angka pandemik COVID-19 yang tidak menunjukkan penurunan saban hari.

“Di kala rakyat terpaksa beratur panjang di Pusat Penilaian Covid (CAC) kerana kes infeksi meningkat saban hari apakah wajar bagi menteri MITI ambil kesempatan melancong di tempat bersejarah atas apa jua alasan?

“Takkan tiada sekelumit rasa resah dan gelisah memikirkan keadaan rakyat di Malaysia ketika ini?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Asyraf lagi, Azmin seharusnya bermuhasabah kerana antara punca Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ketika ini gagal adalah disebabkan daripada kilang-kilang yang terus dibenarkan beroperasi.

“Sedangkan rakyat dikurung dan terus menderita hingga hilang punca pendapatan!

“Untuk rekod, sejak diisytiharkan total lockdown (separa masak) pada 1 Jun 2021, dalam tempoh 42 hari total lockdown, 3,460 kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan 6,260 korban pada hari ke-42 hari ini.

“Kalau sudah ‘mati rasa’ hingga tiada sekelumit perasaan sensitif atau bersalah, Pemuda UMNO desak menteri MITI mesti letak jawatan!” tegas beliau.

Dilaporkan, tular sekeping gambar dari laman Instagram turkeylocalguides, Azmin bersama seorang individu yang dipercayai pemandu pelancong dan pemilik akaun Instagram tersebut dengan status berbesar hati menjadi pemandu pelancong kepada Azmin yang sabar mendengar sejarah Hagia Sophia.

Gambar tersebut dihujani pelbagai kritikan netizen dari negara ini dan menyebabkan pemilik akaun terpaksa edit beberapa kali dan dikatakan telah membuang frasa ‘and his family‘ serta akhirnya memadam gambar tersebut di Instagramnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.