Perbankan Islam Mesti Tunjuk Contoh Tawarkan Moratorium Tanpa Keuntungan Terakru

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ada sebab mengapa beliau terpaksa menerangkan dan serah sendiri 10 Tuntutan Rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

Katanya, salah satu daripada #TuntutanRakyat terkait dengan kegagalan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan kerajaan memenuhi keluhan rakyat yang minta agar kerajaan guna kuasa untuk arahkan bank-bank menawarkan moratorium tanpa caj mahupun faedah terakru.

Dalam satu hantaran di Facebook malam tadi, Dr Asyraf menyertakan lampiran satu contoh terbaharu bagaimana sebuah institusi perbankan Islam turut mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat dengan turut menawarkan moratorium enam bulan tetapi mengenakan keuntungan terakru sepanjang tempoh penangguhan bayaran yang diberikan.

“Seorang hamba Allah mengadu kepada Pemuda UMNO untuk perjuangkan nasib mereka kerana dalam keadaan terdesak untuk mengambil moratorium enam bulan, beliau akan terpaksa membayar tambahan RM9,212 akibat penangguhan yang diberikan.

“Secara prinsipnya sudah ada elemen-elemen berbaur RIBA melainkan wujud perubahan akad yang dimeteraikan (saya tidak mahu berbahas untuk kali ini soal teknikal berkaitan mekanisme Syarak dalam penawaran kontrak pembiayaan yang digunakan i.e. Bay’ Tawarruq atau Commidity Murabahah).

“Menggunakan perkataan ‘Interest Servicing’ dalam surat pemakluman Penjadualan Semula Pembiyaan juga merupakan satu kesalahan serius. (Nota: Waktu saya Pengerusi Shariah merangkap Ahli Lembaga Pengarah sebuah perbankan Islam dulu pasti, pegawai bank yang keluarkan surat ini akan saya panggil),” tegasnya lagi.

Jelasnya, sudah berulang kali Pemuda UMNO bangkitkan dan desak agar Menteri Kewangan yang sudah dinaikkan pangkat kepada Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk ambil tindakan menyelaras kaedah penawaran moratorium termasuk mekanisme pengiraan keuntungan/faedah.

“Pemuda UMNO minta agar kerajaan melalui Menteri Kewangan Tengku Zafrul guna kuasa yang ada melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 bagi mengarahkan bank-bank sama ada konvensional mahupun Islamik agar memansuhkan elemen Keuntungan/Faedah Terakru dalam moratorium yang ditawarkan,” tambahnya.

Justeru kata Dr Asyraf, Pemuda UMNO mengharapkan ada tindakan positif sebagaimana jaminan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri yang baru kepadanya dalam pertemuan semalam ketika beliau datang mengunjungi Presiden UMNO.

Begitu juga ujarnya bagi Pemuda UMNO, inilah masanya perbankan Islam mesti ditampilkan berbeza daripada amalan konvensional.

“Dengan menzahirkan nilai-nilai ihsan dan rasa kebertanggungjawaban sosial yang tinggi dengan menawarkan moratorium tanpa keuntungan terakru terutamanya ketika umat dilanda musibah COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengekang mereka daripada bekerja dan memperoleh pendapatan sebagaimana biasa,” katanya.

Katanya lagi, ini selaras dengan semangat dan matlamat Syariah sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 180 seperti berikut:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.