Ahli Parlimen UMNO Perlu Ada Landasan Yang Betul – Ahmad Maslan

PONTIAN, 11 Julai – UMNO berharap ahli Parlimennya mengikut etika parti jika ada undi percaya atau tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila persidangan Dewan Rakyat diadakan pada 26 Julai ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka masih terikat dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT), disiplin dan etika parti selaras dengan Perlembagaan UMNO meskipun boleh menggunakan budi bicara untuk menyokong atau sebaliknya.

Katanya, budi bicara perlu mengikut landasan parti UMNO dan tidak membuat keputusan yang memihak kepada parti lain, walaupun berbeza pandangan dan pendapat, tetapi, perlu ada ketetapan yang sama.

“Budi bicara itu mesti bertunjangkan kepada parti, tidak mengambil keputusan memilih parti yang lain selain daripada UMNO,” katanya ketika ditemui selepas meninjau penyediaan kotak makanan Wanita UMNO Bahagian Pontian di sini, hari ini.

Mesyuarat MT UMNO pada Rabu lalu telah membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, pihaknya menolak dakwaan tindakan penarikan sokongan UMNO bermakna memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Jika Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berfikiran begitu dan tidak peduli Perdana Menteri dari parti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi kami sangat peduli.

“Ini kerana dalam kerajaan sekarang, UMNO dan Barisan Nasional (BN) memiliki majoriti sebagai parti terbesar dengan 43 kerusi, Bersatu dengan 31 kerusi dengan 15 daripadanya merupakan kerusi milik UMNO sebelum ini,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.