Keputusan Parti Perlu Dipatuhi Semua Pemimpin Dan Ahli – Ahmad Nazlan

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ahli Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris berpandangan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan pendirian Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang perlulah dipatuhi oleh setiap pemimpin serta ahli parti.

Begitu juga ujarnya sebagai Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah tidak terkecuali dan akan akur kepada keputusan parti.

“Saya selaku Ahli Parlimen Jerantut (BN/UMNO) berpendirian dan mengambil ketetapan selaras dengan keputusan yang diambil oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.

“Ia adalah selari dengan keputusan MKT pada 7 Julai 2021.

“Iaitu, dengan memberi mandat kepada Presiden dan MKT UMNO untuk menentukan tarikh tepat penarikan diri daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Jelas Nazlan, tugas utamanya kini adalah untuk menumpu segala usaha dan inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara dan khususnya di kawasannya.

Semalam, Wan Rosdy berkata dalam satu kenyataan, pendirian Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang adalah selari dengan keputusan MKT pada Rabu lalu dan juga dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 akhir Mac lepas, yang memberi mandat kepada Presiden dan MKT untuk menentukan tarikh tepat penarikan diri daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan PN. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.