Ahli Parlimen BN/UMNO Cameron Highlands Pegang Teguh Keputusan Parti

CAMERON HIGHLANDS, 10 Julai – Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Datuk Mohd Nor berpendirian dan mengambil ketetapan selaras dengan keputusan yang diambil oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan juga Ketua Bahagian UMNO Cameron Highlands.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN)/UMNO itu berkata ia adalah selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Rabu, 7 Julai 2021.

“Iaitu, dengan memberi mandat kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menentukan tarikh tepat penarikan diri daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Maka, keputusan ini perlulah dipatuhi oleh setiap pemimpin serta ahli parti dan saya sebagai Ahli Parlimen UMNO adalah TIDAK TERKECUALI DAN AKAN AKUR KEPADA KEPUTUSAN PARTI,” tegasnya lagi.

Ulasnya lagi, pada masa ini tugas utama beliau adalah menumpu segala usaha dan inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara dan kawasan Parlimen Cameron Highlands khususnya.

Pada Rabu lalu, UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran kegagalan kerajaan pimpinannya memenuhi aspirasi rakyat dan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan.

Antara kegagalan Muhyiddin adalah menyalahgunakan Darurat, gagal mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang, gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori serta gagal untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri.

Begitu juga gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik serta memperkotak-katikkan Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Ekoran penarikan sokongan itu juga, terdapat beberapa media arus perdana melaporkan pemberitaan yang tidak dapat ditentukan kesahihannya apabila menyiarkan kenyataan media tanpa logo parti dan nama-nama kononnya ahli-ahli Parlimen BN kesemuanya tetap menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.