UMNO Tamat Sokongan Demi Rakyat – Mustafa Shah

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pemuda UMNO Kuala Kangsar menyambut baik keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di bawah kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menamatkan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8.

Ketuanya, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata keputusan MKT semalam juga adalah selaras dengan keputusan Perhimpunan Aging UMNO (PAU) 2020 dan ia sentiasa konsisten dengan kehendak yang juga keputusan secara kolektif ahli akar umbi diseluruh negara.

“Keputusan ini amat ditunggu-tunggu oleh segenap akar umbi UMNO di seluruh negara termasuk di Kuala Kangsar kerana kegagalan pentadbiran Kerajaan PN terutamanya mengenai perkara yang melibatkan kebajikan rakyat menghadapi COVID-19 disamping pengurusan vaksin dan imunisasi yang terlalu perlahan.

” Kami percaya bahawa UMNO tidak lagi perlu untuk berterusan menanggung kegagalan demi kegagalan yang dipamerkan oleh Tan Sri Muhyiddin yang dilihat mengambil kesempatan di kala kesulitan ini untuk memperkukuhkan PPBM dan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Kami juga percaya bahawa keputusan MKT UMNO pada pagi ini bertujuan untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus diurus secara tidak berhemah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menjelaskan puncak kepada kegagalan Kerajaan PN juga adalah kempen bendera putih yang tular baru-baru ini akibat daripada rakyat yang mengalami kesempitan hidup yang keterlaluan.

“Ia memperlihatkan berbilion-bilion pakej bantuan yang dirangka oleh Kerajaan PN tidak sampai kepada golongan yang terdesak ini malah membebankan rakyat dengan pelbagai polisi, peraturan dan birokrasi.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Presiden dan seluruh ahli MKT kerana mendengar serta menghormati suara akar umbi UMNO dan seluruh rakyat Malaysia yang kecewa terhadap prestasi pentadbiran Kerajaan PN yang amat lemah,” ujarnya.

Tegasnya, semoga dengan pelantikan Perdana Menteri yang baharu secara sementara berupaya untuk menyusun semula agenda kebajikan rakyat dan menangani COVID-19 dengan memastikan proses vaksinasi disegerakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.