Persidangan UMNO Cawangan Empat Peringkat 15 Ogos Hingga 30 Sept, Secara Maya Atau Bersemuka Bergantung SOP

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ( MKT) parti mengesahkan keputusan agar Persidangan Cawangan empat peringkat Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri dan Cawangan (sebanyak 66,287 mesyuarat) di seluruh 191 Bahagian akan diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021.

Menurut beliau Persidangan Cawangan tanpa pemilihan jawatan itu boleh dihadiri hanya 1/4 kehadiran (25% jumlah ahli), iaitu cukup korum, dibuat secara maya atau secara bersemuka jika SOP membenarkan.

“Saya dimandatkan untuk memberi butiran tambahan mengenai keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) secara maya pada 7hb Julai 2021.

“Tarikh-tarikh untuk Mesyuarat Perwakilan Bahagian empat peringkat Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO tanpa pemilihan dengan kehadiran hanya 1/4 daripada jumlah ahli akan dimaklumkan kemudian.

“Disamping itu, Majlis Kerja Tertinggi juga telah mengambil keputusan bahawa ketika sidang Parlimen nanti, Ahli-ahli Parlimen UMNO boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian. Namun, difahami bahawa semua keputusan parti mestilah dijadikan panduan oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO dalam melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Ahmad Maslan seterusnya memaklumman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.- UMNO Online

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.