Keputusan MKT UMNO Demi Rakyat Serta Negara, Berperlembagaan Dan Musyawarah

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan apa yang difikirkan perlu dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara malam tadi.

Katanya sebagai sebuah parti demokratik berusia 75 tahun, segalanya diputuskan secara berperlembagaan, musyawarah dan bijaksana serta berpaksikan kemaslahatan rakyat dan negara.

“Beginilah keindahan UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara. Sebuah parti demokratik berusia 75 tahun. Maka tidak benarlah propaganda dan persepsi yang kerap direka konon Presiden UMNO buat keputusan sendiri untuk parti,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi, terbukti juga UMNO bukan sebuah parti yang boleh berkompromi apabila melibatkan kepentingan rakyat serta negara.

Malah tambahnya lagi terbukti juga UMNO sebuah parti yang tegas dan jitu mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Terbukti UMNO mendengar suara hati akar umbi parti dan memenuhi mandat mereka pada Perhimpunan Agung UMNO 2020. Ternyata UMNO parti yang akan terus berpegang dan memperjuangkan prinsip demokrasi berparlimen.

“UMNO akan terus bersama rakyat walau apa cabaran dan rintangan. Demi Malaysia tercinta,” ujarnya.

UMNO semalam menerusi satu keputusan yang diputuskan selepas Mesyuarat MKT menarik sokongan serta merta terhadap Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media secara maya menyatakan kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat menyebabkan UMNO menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri.

Justeru, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.- UMNO Online

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.