Keputusan MKT : Perjuangan UMNO Demi Rakyat – Pemuda UMNO Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Keputusan yang diambil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam adalah satu keputusan yang memihak kepada rakyat walaupun keputusan berkenaan pahit serta keputusan itu mungkin dianggap tidak popular.

Namun kata Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Nohd Zaidy Abdul Kadir parti mesti juga membuat satu keputusan mengenai hala tuju politik tanah air dan jelas semuanya adalah untuk rakyat.

Menurut beliau jika mahukan kekuasaan dan mahukan kekayaan atau secara mudahnya jika mementingkan sifat materialistik, lebih baiklah Majlis Kerja Tertinggi UMNO terus memilih untuk bersama dengan Kerajaan hari ini.

“Dapat jawatan…Ahli Parlimen dari kalangan pemimpin parti pun mendapat jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di dalam Kabinet. Namun, UMNO tidak melihat semua itu. UMNO melihat kepada kehendak rakyat. UMNO mendengar semua denyut nadi rakyat yang semakin hari semakin marah dengan Kerajaan.

“Rakyat ibarat dibisukan. Dan Kerajaan seolah-olah memekakkan telinga dan membutakan mata ketika seluruh rakyat sedang berhadapan dengan zaman pandemik yang serba payah ini. Tidak perlulah diulang lagi kepayahan apa yang rakyat sedang hadapi hari ini. Semua orang tahu.

“Satu dunia tahu. Hinggakan dunia melabelkan kita sebagai negara yang tercorot dan mungkin mengambil masa yang lama untuk pulih daripada pandemik ini. Ekonomi makin membimbangkan. Sistem kesihatan makin lumpuh. Semua ini membuatkan rakyat menjerit. Tetapi mereka hanya mampu menjerit tanpa mendapat sebarang perhatian daripada Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi, UMNO adalah sebuah parti yang dibina daripada keringat rakyat dan keringat yang berdiri kukuh dengan prinsip perjuangan terhadap agama, bangsa dan negara.

Tegasnya tidak pernah sesekali pun sejak ditubuhkan, UMNO mengkhianati asas ini malah, sebagai ahli baru dan pemimpin baru di dalam parti, kami sering kali diingatkan mengenai prinsip perjuangan ini.

“Tunjang kami dalam perjuangan di dalam parti keramat ini adalah dengan sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Maka perjuangan kita adalah untuk rakyat, demi rakyat dan kepada rakyat. Jika tunjang dan prinsip ini tidak lagi menjadi perjuangan parti, secara jelas, kami telah mengkhianati perjuang-perjuang yang mewariskan parti ini kepada kami.

“Memahami akan kepayahan rakyat itulah, UMNO tampil untuk membuat satu keputusan. Keputusan untuk tidak lagi memberi sokongan kepada Perdana Menteri. Biarlah UMNO berkorban hilang jawatan di dalam Kerajaan. Hilang jawatan di dalam Syarikat Milik Kerajaan (GLC).

“Asalkan protes UMNO ini dapat membangkitkan Kerajaan daripada tidur yang lena dan menyedarkan mereka bahawa rakyat sedang susah. Rakyat perlukan sebuah Kerajaan yang efisien. Bukannya Kerajaan yang syok sendiri dan terlalu selesa berada di atas kerusi empuk pemerintahan,” ujarnya.

Ujar beliau lagi tarikh semalam pastinya akan dikenang di dalam sejarah politik tanah air dan ianya dikenang kerana pengorbanan UMNO kepada rakyat dan mungkin bagi sesetengahnya menganggap ia sebagai satu keputusan bersifat politiking, tetapi percayalah, sejarah akan membuktikan sebaliknya.

“Keputusan telah dibuat. UMNO tidak akan menoleh ke belakang lagi. Kerana mulai saat ini, UMNO akan terus melangkah bergerak ke hadapan mencari jalan untuk kembali memulihkan negara.

“Semua ini adalah kerana UMNO mewarisi sebuah perjuangan panjang untuk rakyat dan negara. Dan UMNO bukan sekadar mewarisi jawatan penting di dalam Kerajaan. Jawatan dan kuasa bukanlah prinsip UMNO. Kerana selama-lamanya UMNO akan sentiasa mengutamakan rakyat. Dan ini adalah hakikat,” tambahnya.

UMNO semalam menerusi satu keputusan yang diputuskan selepas Mesyuarat MKT menarik sokongan serta merta terhadap Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media secara maya menyatakan kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat menyebabkan UMNO menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri.

Justeru, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.- UMNO Online