AhliI Parlimen UMNO Wajib Patuhi Keputusan MKT – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan menyambut baik ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kata Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor.

Menurut beliau, ia jelas merupakan satu keputusan yang cermat setelah melalui satu proses pertimbangan dan musyawarah demi kebaikan parti serta rakyat.

“Keputusan ini menjelaskan sebab-sebab penolakan UMNO terhadap kepimipinan Tan Sri Mahiaddin Yassin yang telah ternyata gagal dalam memenuhi tujuh pra syarat sokongan UMNO terhadap pentadbiran beliau yang antara lain diyakini gagal mengurus krisis pandemik COVID-19 dan menyalahgunakan perisytiharan darurat.

“Pada masa yang sama, UMNO juga sekali lagi tidak boleh berkompromi dengan pernyataan-pernyataan serta perlakuan Tan Sri Mahiaddin yang membelakangi Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (YDPA) seperti mana beliau telah melengah-lengahkan sidang Parlimen, walaupun telah beberapa kali ditegur oleh Seri Paduka Baginda.

“Kami juga melihat kegagalan Tan Sri Mahiaddin dari sudut menangani pandemik COVID-19 dengan cara yang betul tanpa menyeksa rakyat yang dipaksa berkurung sia-sia, ditambah pula dengan bantuan yang lambat diumumkan selain dilihat banyak berpihak kepada pihak-pihak yang berkepentingan seperti kilang-kilang dan bank-bank,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Hariri lagi, selaras dengan ketetapan ini, Ahli Parlimen UMNO perlu memberi contoh kepada kami semua sebagai pemimpin di akar umbi dengan menghormati sepenuhnya setiap keputusan yang telah dibuat oleh MKT UMNO, termasuklah untuk menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin sebagai Perdana Menteri berkuat-kuasa serta-merta tanpa sebarang keraguan lagi.

“Keputusan MKT pada kali ini juga jelas menutup tanggapan politik jahat sesetengah pihak yang mendakwa UMNO akan mengadakan ‘Jajaran Baru’ politik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 ‘No PPBM, No Anwar, No DAP’, katanya lagi.

Sehubungan itu tegas Hariri,  Pemuda UMNO Kelantan mendesak semua Ahli Parlimen UMNO termasuk yang memegang jawatan dalam pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk segera nyatakan pendirian masing-masing dengan mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh MKT UMNO malam tadi, bagi menzahirkan bukti kepentingan parti diutamakan, jauh mendahului kepentingan peribadi.

“Akhir sekali, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan meminta Tan Sri Mahiaddin Yassin mengundur diri secara terhormat bagi membuktikan beliau seorang yang berjiwa besar,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.