Moratorium Jangan Hanya Lepaskan Batuk Di Tangga, PN Perlu Prihatin Dengar Suara Rakyat – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap melalui mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini berupaya memberi ketetapan jelas untuk kerajaan bagi mengarahkan bank-bank memansuhkan atau waive faedah terakru sepanjang tempoh moratorium yang ditawarkan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana tawaran moratorium 2.0 hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin mendengar suara hati dan memenuhi segala tuntutan rakyat.

“Akhirnya, Bank Negara Malaysia juga terpaksa buat kenyataan jujur bahawa moratorium akan tambah kos keseluruhan pinjaman!

“Nak kata apa lagi? Kalau beginilah rakyat diperlakukan, usah bicara soal kononnya kerajaan PN ini prihatin rakyat.

“Apatah lagi dalam keadaan rakyat yang amat susah, perit, tertekan dan terdesak ketika ini, kuasa dan kudrat yang ada seharusnya digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau lagi, sudah berkali-kali Pergerakan Pemuda UMNO memberikan cadangan dan solusi bahawa kerajaan boleh memanfaatkan tiga punca kuasa perundangan termasuk Ordinan Darurat 2021, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, untuk mengarahkan bank-bank menawarkan moratorium tanpa faedah terakru yang membebankan rakyat.

“Malah 10 cadangan Pemuda UMNO sebelum ini boleh dilaksanakan jika ada kemahuan kerana semua itu telah mengambil kira keupayaan bank-bank menyerap sebarang kemungkinan kerugian (expected losses) kerana impak moratorium 1.0 terdahulu juga jelas amat minima bahkan bank-bank dengan bangga merekodkan keuntungan berbilion-bilion bagi tahun berakhir 2020.

“Sekali lagi Pemuda UMNO buat kesekian kalinya, demi rakyat yang amat terdesak ketika ini, merayu dan mendesak Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar kembali berbicang dengan bank-bank dan segera mempertimbangkan kembali tuntutan rakyat agar dibantu dengan menawarkan moratorium tanpa faedah terakru yang amat membebankan rakyat ketika ini.

“Moga menteri-menteri UMNO dapat membawa suara rakyat ini ke dalam mesyuarat Kabinet hari ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.