Lim Kit Siang Terlalu Biadap, Minta PDRM Segera Ambil Tindakan Tegas – Exco Pemuda

KUALA LUMPUR, 6 Julai – EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan pantas terhadap Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di atas posting facebook beliau tentang ‘Kerajaan Allah’ yang menghina Islam.

Ujarnya, Lim Kit Siang sudah melampaui batas dengan menghina agama Islam yang boleh membawa ketegangan agama dan amat merbahaya.

“Jangan kerana anda tua, jangan kerana anda Ahli Parlimen, anda boleh sesuka hati membuat kenyataan yang menyeleweng dan menggugat ketenteraman awam. Undang-Undang tidak mengenal usia, jadi saya menyeru pihak PDRM dapat segera ambil tindakan sewajarnya agar perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit.

Tegasnya, dengan keceluparan kenyataan tersebut, jelas menunjukkan, Kit Siang dan parti Dap sangat rasis malah ideologi parti ini tidak pernah berubah.

“Semua agama tidak pernah membenarkan penganutnya menghina agama lain tidak kira Islam, Kristian, Buddha atau lainnya. Lagi-lagi menghina Allah. Ini amat melampau.

“Kami Pemuda UMNO Lembah Pantai, amat berharap agar satu tindakan paling tegas diambil kepada Lim Kit Siang walaupun beliau sudah memadamkan posting tersebut di facebook beliau,” ujarnya.

Tulisan Kit Siang di laman blognya: “If ‘Allah’s government’ is the best form of government in Covid-19 Pandemic, why Malaysia is the last in the Economist’s global normalcy index losing out to Hong Kong, New Zealand, South Korea, China, Japan, Russia, Thailand, Singapore, Vietnam and Taiwan none of which can claim to be “Allah’s government” .

Tulisan veteran Dap itu adalah respon kepada kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai “Kerajaan Allah”.

Bagaimanapun Kit Siang selepas itu telah memadamkan hantaran berkenaan setelah mendapat kecaman netizen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.